Perancangan ke bosnia sebenarnya adalah tidak dijangka dan datang tiba-tiba sahaja. Tidak pernah langsung Bosnia masuk dalam senarai- mesti-lawatku. Aku ada tiga tempat impian:
1. London 2. Mekah 3. Caribbean
Alhamdulillah selok belok London sudah sedikit sebanyak aku kuasai. Mekah dan Madinah sudah ku jejak sebelum kawan-kawanku terkesan oleh Sheikh Maszlee dengan soalan mautnya kepada peserta Winter Retreat 2008 di Scotland.
“Menunaikan haji rukun Islam ke berapa?” Sheikh Maszlee bertanya para peserta
Dengan yakin tanpa segan silu peserta menjawab
“Kelima!!”dengan yakin
“Ok. Kelima kan? Travel ke Europe rukun Islam ke berapa?”
Kali ni semangat menjawab hilang. Mereka tahu mereka dah kena tembak. Melancong ke eropah boleh tapi tak berusaha menunaikan haji atau sekurang-kiurangnya mendaftar untuk haji atau melakukan umrah sekurang-kurangnya. Jadi kepada yang belum mendaftar haji bolehlah berbuat demikian di tabung haji berdekatan.
Impian ketigaku, Caribbean agak sukar untuk dipenuhi. Mahal, jauh, tiada yang sudi mengikut.
Berbalik pada Bosnia. Satu pagi, sebelum sempat ayam berkokok aku menerima SMS dari sheikh Safwan.
“eh, tiket Bosnia tengah murah ni. Jom beli”
Selepas solat subuh aku terus telefon Sheikh Safwan
“Jom”
Aku pantas menjawab tanpa melihat butir-butir perjalanan terlebih dahulu. Aku mengaku perjalanan ini tak menentu keadaannya. Ini bukan macam melancong ke Spain, France, Turki atau Itali. Bosnia yang masih dalam era pasca perang mungkin tidak selamat untuk dikunjungi. Yang dalam perjalanan ni aku “passenger” dan sheikh Safwan sebagai “planner”.
Kami ke London sehari sebelum flight kami ke Zadar, Croatia dan menumpang di bilik antara pelajar terbaik Queen Mary University of London, Sheikh Kabir bi Londoni, Saudara Asyraf Abdul Jalil.
Kami berlepas dari lapangan terbang Stansted ke lapangan terbang Zadar, Croatia. Penerbangan mengambil masa 2 jam setengah dan kami sampai di Zadar pada pukul 9 malam.
Dari lapangan terbang, kami mengambil bas ke stesen bas Zadar seterusnya ke Split pada pukul 1045 malam. Split terletak di selatan Croatia dan berada di pesisir pantai Adriatic. Sumber ekonomi utama Split adalah perkapalan dan pelancongan. Bandar lama Split diiktiraf sebagai tapak warisan dunia UNESCO. Kami sampai di Split pada pukul 1.30 pagi dan mengambil bas menyeberang sempadan ke Bosnia pada pukul 6.00 pagi. Cerita detail boleh didapati di bosnianexperience.blogspot.com. Apakah yang akan berlaku kepada kami? Adakah kami akan bertumbuk dengan beruang di puncak gunung di Bosnia? Adakah kami akan berbalas tembakan dengan para-militari Serbia? Adakah kami akan bertetak parang dengan penduduk tempatan?
Tunggu dalam entry berikutnya………
0 comments: